5 asas kejayaan dan kewibawaan guru.

 

                                           5 perkara utama asas kejayaan,  wibawa guru
                              (Seperti yang disebut oleh KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom) sempena sambutan Hari Guru 2009

                                                                                  

kekuatan intelek

kepemimpinan berwibawa

kemurnian akhlak

kesediaan untuk berubah

  minat dan cinta terhadap profesion

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, menggariskan lima perkara utama yang perlu diberi fokus sebagai asas kejayaan dan kewibawaan guru.
 

 

 

Katanya, perkara berkenaan ialah kekuatan intelek, kepemimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta minat dan cinta terhadap profesion mereka.

Sambil menegaskan setiap fokus itu saling berkait, melengkapi serta bergerak serentak dan beriringan, beliau berkata, guru harus menghayati dan mengamalkannya bagi memartabatkan profesion keguruan.

“Dari segi kekuatan intelek, guru hendaklah cemerlang melaksanakan tugas asasi mengajar. Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lancar jika guru menguasai kandungan subjek diajar serta berketerampilan dalam kemahiran pedagoginya.

“Di samping itu, guru juga perlu memiliki pengetahuan umum yang baik dan terkini agar mereka kekal relevan dengan tuntutan perubahan semasa,” katanya dalam perutusan sempena Perayaan Hari Guru 2008 bertema ‘Guru Cemerlang Negara Terbilang’ pada 16 Mei ini, menerusi laman web kementerian itu.

Sebagai organisasi pembelajaran, Alimuddin berkata, sekolah harus dipimpin dengan cekap serta berkesan oleh pihak diberi amanah yang dalam konteks ini, pengetua, guru besar dan guru penolong kanan adalah ‘pemain utama’

Berikutan bidang kepemimpinan adalah dinamik dan sentiasa berubah, katanya, kepemimpinan sekolah bertanggungjawab melengkapi diri dengan pendekatan, strategi, kaedah dan juga teknik kepemimpinan, pengurusan serta pentadbiran terkini, termasuk model kepemimpinan instruktional.

Seterusnya, beliau berkata, guru pula bertanggungjawab terhadap kepemimpinan P&P serta perkembangan sahsiah pelajar.

Malah sebagai pendidik, katanya, guru harus sedar bahawa mereka menjadi contoh kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti.

“Sehubungan itu, peribadi guru hendaklah terdorong kepada berfikiran global, bermentaliti kelas pertama, memiliki `towering personality’ serta tidak terjebak dalam sebarang kes jenayah dan salah laku.

“Keadaan ini sekali gus membolehkan Kementerian Pelajaran meningkatkan kecekapan jentera perkhidmatan dan memartabatkan profesion keguruan.

“Alaf baru menyaksikan gelombang perubahan hasil kemajuan sains, kecanggihan teknologi dan ledakan ilmu. Bagi menangani perubahan serta pembaharuan, guru perlu peka dan sentiasa bersedia untuk turut berubah. Guru harus bersedia untuk ‘learn, relearn and unlearn’ dan menjadi pelajar sepanjang hayat agar kekal relevan,” katanya.

Alimuddin berkata, keperluan dan kepentingan pendidikan menuntut minat serta kecintaan mendalam yang akan mencetus keinginan dan juga dorongan untuk menjalankan tugas secara jujur, ikhlas dan penuh bertanggungjawab.

“Hanya mereka yang memiliki `roh guru’ dapat menjiwai dan menggalas tugas amat berat lagi mencabar ini,” katanya.

 

 

%d bloggers like this: